Don't miss even a single update! Like/Join us on Facebook to keep up-to-date!

Categories...

Kedai Membaiki Komputer

Kedai Membaiki Komputer
Dipercayai, Berkualiti & Pengurusan Mudah!

Tuesday 7 April 2015

Ratu Terhodoh Meninggal Dunia


RATU pertandingan Muka Terhodoh Dunia, Anne Woods meninggal dunia pada usia 67 tahun.
Juara 28 kali itu mula menyertai pertandingan pelik tersebut pada 1977 dan mengambil bahagian setiap tahun dalam tempoh tiga dekad.

Pertandingan yang memerlukan peserta membuat raut wajah yang pelik itu digelar sebagai pertandingan Muka Terhodoh.

Anne menyertai pertandingan tersebut sebanyak 33 kali, memenangi hampir seluruh penyertaan sekaligus dinobatkan sebagai naib juara sebanyak lima kali dan hanya sekali dia terlepas daripada menyertai pertandingan tersebut kerana mengandung.

Setiap tahun Anne akan memilih lagu yang sama, 'You're Gorgeous' untuk mengiringi persembahannya.


Penyertaan wanita unik itu disangka terhenti apabila dia pengsan selepas menjuarai pertandingan tersebut pada tahun 2010 namun masih lagi mampu untuk bertanding pada tahun berikutnya.

Pada tahun 2012, Anne telah diiktiraf oleh Guinness Book of Records sebagai pemenang terbanyak pertandingan tersebut.

Setiausaha dan Naib Pengerusi Pertandingan, Callum Scott berkata, "Anne merupakan peserta paling popular dan pertandingan ini tidak akan meriah tanpa penyertaan dia.

"Anne merupakan seorang yang sangat bersemangat mengenai pertandingan ini, dia tidak suka hadir sebagai penonton.

"Kami juga akan membuat sesuatu pada pertadingan tahun ini untuk memberi penghormatan kepadanya," katanya lagi.

Pertandingan Muka Terhodoh diadakan setiap tahun di  Egromont, Cumbria, England.

Perancis Haram Model Terlalu Kurus


Jika selama ini tubuh yang kurus menjadi antara faktor untuk menjadi model, kini ia bagaikan suatu yang memudaratkan apabila Perancis meluluskan undang-undang yang menghukum pihak dalam industri peragaan.


Negara yang terkenal sebagai pusat fesyen dunia itu akan mengharamkan model yang terlalu kurus, mendenda atau memenjara ejen syarikat peragaan serta fesyen yang merekrut mereka.

Perancis yang memperoleh urusniaga industri fesyen mencecah puluhan bilion euro menyertai Itali, Sepanyol dan Israel dalam melaksanakan undang-undang ke atas model kurus.

Langkah itu adalah sebahagian usaha menangani anoreksia yang disokong kerajaan serta Presiden, Francois Hollande yang menganggap amalan menggalakkan penurunan berat badan itu adalah berbahaya.

Pakar kesihatan menganggar 30,000 hingga 40,000 penduduk Perancis mengalami anoreksia dengan majoritinya membabitkan remaja.


Berdasarkan rang undang-undang yang diluluskan itu, sebarang ativiti peragaan diharamkan bagi mereka yang memiliki Indeks Jisim Tubuh (BMI) kurang daripada tahap yang dicadangkan pihak berkuasa kesihatan dan ditetapkan menteri kesihatan serta tenaga kerja."

Sebelum ini, anggota Parlimen mencadangkan model perlu menunjukkan sijil kesihatan dengan BMI sekurang-kurangnya 18 serta berat kira-kira 55 kilogram untuk ketinggian 1.75 meter sebelum ditawarkan pekerjaan.

Walaupun mendapat tentangan, undang-undang yang diluluskan  menetapkan hukuman penjara enam bulan dan denda 75,000 euro (RM300,000) ke atas agensi yang melanggarnya.

Pada 2007, Isabelle Caro, 28, bekas model fesyen Perancis yang menghidap anoreksia mati selepas kempen fotografi bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit itu. - Reuters

Kucing 'Terkurung' Lima Tahun

Abdo (kanan) sedang memberi makan kepada Biso yang terperangkap sejak lima tahun lalu. 

Seekor kucing akhirnya diselamatkan selepas ‘terkurung’ bertahun-tahun di sebalik dinding.


Kucing yang diberi nama Biso itu dilaporkan terperangkap selepas memasuki lubang kecil di sebuah stesen kereta api yang dijaga Mohamed Naguib, lima tahun lalu.

Selepas terperangkap pada 2010, Bisco bernasib baik kerana seorang lelaki warga emas bernama Abdo memberikan makanan dan minuman kepadanya setiap hari.

Kata Abdo, Biso memasuki lubang itu untuk bersembunyi daripada kucing lain kerana ketika itu masih kecil.
“Lama-kelamaan ia semakin besar dan tidak muat untuk badannya keluar melalui lubang berkenaan,” katanya.

Beberapa percubaan pernah dibuat untuk mengeluarkan Biso sebelum ini namun kucing berkenaan tidak memberi kerjasama.

Kata Abdo, Biso biasanya berlari lebih jauh ke dalam apabila cuba diselamatkan.

Nasib Biso bertukar apabila sekumpulan wanita menggerakkan kempen melalui media sosial pada 12 Mac lalu.

Melalui Facebook, mereka menyiarkan gambar Biso mengintai dari lubang dinding stesen kereta api berkenaan dan merayu usaha menyelamat dibuat.

Pada masa sama, orang ramai berdepan dilema untuk menyelamatkan Biso kerana sebarang cubaan menjejaskan struktur dinding itu boleh dianggap merosakkan harta awam.

Akhirnya aktivis haiwan, Dina Zulfikar, Marwa Elgebaly dan Rania el-Kordy membuat laporan polis sebelum mereka mendapat arahan mahkamah beberapa hari kemudian untuk menyelamatkan Biso.

Akhirnya pada 13 Mac lalu kucing itu diselamatkan.

Polis Tahan Lelaki Ingin Kahwini Ular Tedung


POLIS menyerbu sebuah kuil di India selepas seorang lelaki cuba mengahwini seekor ular tedung selar kerana percaya dirinya juga daripada spesies sama.

Sandeep Patel, 27, mendakwa dirinya sebagai 'ichchadhari nagin' (jelamaan ular) yang akan menjadi ular tedung selar pada waktu malam (mengikut kepercayaan Hindu).

Lelaki itu juga mendakwa, ular tedung selar betina berkenaan telah mengakui mencintai dirinya akan mahu berkahwin secepat mungkin.

Berikutan kepercayaan berkenaan, keluarga Sandeep telah melakukan persediaan untuk melangsungkan perkahwinan tersebut sejak dua minggu lalu.

Akibat perkahwinan pelik itu, lokasi majlis tersebut di sebuah kampung di Badwapur dibanjiri seramai 15,000 orang yang ingin menyaksikan persandingan 'pasangan' berkenaan.

Saksi memberitahu, Sandeep sebelum ini menjalani kehidupan seperti seekor ular termasuk ketika minum.