BARCELONA: Segenap mata akan tertumpu kepada bintang kontroversi
Barcelona, Luis Suarez menjelang pertembungan 'Clasico' bulan ini dan
Pengarah Sukan kelab itu, Andoni Zubizarreta menjangkakan dia sudah
bersedia menentang Real Madrid.
Suarez yang menyertai Barca dari Liverpool musim ini berdepan
penggantungan selama empat bulan kerana menggigit pemain Itali di Piala
Dunia, Brazil dan terpaksa menyaksikan rakan sepasukannya memulakan
kempen musim ini tanpa khidmatnya.
"Saya berharap Luis Enrique (jurulatih Barca) akan memperoleh
kesemua pemainnya. Sehingga kini, tanpa khidmatnya (Suarez), kami
memulakan kempen dengan baik," kata Zubizarreta kepada televisyen
Sepanyol.
"Saya mengenalinya dan saya fikir dia akan bersedia untuk
Bernabeu. Suarez tahu di tahap mana dia berada dan situasi yang akan
dihadapinya.
"Dia akan menjadi pemain yang penting buat kami. Peminat
sepatutnya bertenang, pemain itu sudah mengerti apa kesalahan yang
dilakukannya dan secara dalaman kami sudah bekerjasama. "
Begitupun, skuad bimbingan Enrique ketika ini masih belum mencapai
tahap 'cemerlang' ketika di bawah bimbingan Pep Guardiola namun hanya
kehilangan dua mata daripada tujuh perlawanan dan menduduki tangga
teratas La Liga.
Musuh tradisi, Real ketika ini ketinggalan empat mata dan akan
bertemu sesama sendiri di Bernabeu pada 25 Oktober ini iaitu sehari
selepas Suarez menamatkan penggantungannya.
Sejak pertengahan Ogos lalu, Suarez dibenarkan berlatih bersama
rakan sepasukannya selepas hukumannya dikurangkan dan dibenarkan beraksi
bersama skuad kebangsaan.
Jumaat lalu, Suarez beraksi bersama Uruguay ketika menentang Arab
Saudi dan meledak dua gol ketika menentang Oman pada Isnin.