BARCELONA: Segenap mata akan tertumpu kepada bintang kontroversi Barcelona, Luis Suarez menjelang pertembungan 'Clasico' bulan ini dan Pengarah Sukan kelab itu, Andoni Zubizarreta menjangkakan dia sudah bersedia menentang Real Madrid.
Suarez yang menyertai Barca dari Liverpool musim ini berdepan penggantungan selama empat bulan kerana menggigit pemain Itali di Piala Dunia, Brazil dan terpaksa menyaksikan rakan sepasukannya memulakan kempen musim ini tanpa khidmatnya.
"Saya berharap Luis Enrique (jurulatih Barca) akan memperoleh kesemua pemainnya. Sehingga kini, tanpa khidmatnya (Suarez), kami memulakan kempen dengan baik," kata Zubizarreta kepada televisyen Sepanyol.
"Saya mengenalinya dan saya fikir dia akan bersedia untuk Bernabeu. Suarez tahu di tahap mana dia berada dan situasi yang akan dihadapinya.
Begitupun, skuad bimbingan Enrique ketika ini masih belum mencapai tahap 'cemerlang' ketika di bawah bimbingan Pep Guardiola namun hanya kehilangan dua mata daripada tujuh perlawanan dan menduduki tangga teratas La Liga.
Musuh tradisi, Real ketika ini ketinggalan empat mata dan akan bertemu sesama sendiri di Bernabeu pada 25 Oktober ini iaitu sehari selepas Suarez menamatkan penggantungannya.
Sejak pertengahan Ogos lalu, Suarez dibenarkan berlatih bersama rakan sepasukannya selepas hukumannya dikurangkan dan dibenarkan beraksi bersama skuad kebangsaan.
Jumaat lalu, Suarez beraksi bersama Uruguay ketika menentang Arab Saudi dan meledak dua gol ketika menentang Oman pada Isnin.