Don't miss even a single update! Like/Join us on Facebook to keep up-to-date!

Categories...

Kedai Membaiki Komputer

Kedai Membaiki Komputer
Dipercayai, Berkualiti & Pengurusan Mudah!

Thursday 16 October 2014

Apple iPad Air 2

 


CUPERTINO, California: Apple Inc memperkenalkan beberapa varian baharu iPad yang turut menampilkan sistem pembayaran mudah alih dan Touch ID, sistem pengaktifan peranti menggunakan cap jari seperti pada iPhone.

Mengikut Apple, iPad Air 2 baharu lebih nipis daripada pesaingnya dengan kuasa pemain grafik yang dinaik taraf dan pelbagai ciri lain.

Barisan produk baharu berkenaan disasarkan untuk membantu Apple mengukuhkan kembali tapak penguasaannya dalam pasaran tablet yang kini semakin dikuasai syarikat lain yang menggunakan sistem operasi percuma, Google Android.


Pada pelancaran di sini malam tadi, Apple berkata, sistem pembayaran mudah alihnya dikenali Apple Pay yang membolehkan pengguna iPad dan iPhone menyentuh peranti mereka untuk membuat pembayaran di gedung runcit, akan mula beroperasi Isnin ini.

"Setakat bulan lalu sahaja, kami sudah memeterai perjanjian dengan 500 bank lagi," kata Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook.

iPad Air 2 kini 18 peratus lebih tipis berbanding sebelumnya. Rekaan baharu setebal 6.1 mm (0.24 inci) menjadikannya tablet paling nipis di dunia, kata Naib Presiden Apple, Phil Schiller.

"Ia sangat nipis hinggakan anda boleh lapiskan dua tablet itu tapi kedua-duanya masih lebih nipis berbanding iPad pertama," tambahnya.

Dipadankan dengan badan aluminium, iPad Air 2 menggunakan pemproses A8X dan bateri yang bertahan hingga 10 jam. Dengan berat hanya 435 gram, tablet ini mempunyai dua kamera dan merakam video definisi tinggi.

Apple juga menaik taraf varian tablet lebih kecil, iPad Mini 3 yang turut mempunyai sistem Touch ID.
Peranti canggih berkenaan datang dengan tanda harga dari AS$399 (RM1,309) bagi iPad Mini 3 dan AS$499 (RM1,638) untuk iPad Air 2. Dengan itu, Apple akan menurunkan harga bagi varian iPad yang sedia ada di pasaran.

Mengikut Cook, iPad adalah peranti yang sangat laris dengan sejumlah 225 juta sudah dijual sejak dilancarkan empat tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam pasaran tablet yang semakin menyederhana, peranti keluaran pesaing menggunakan platform Android semakin meraih bahagian pasaran lebih besar.

Mengikut firma penyelidik, Strategy Analytics, Android menguasai 70 peratus pasaran tablet pada suku kedua tahun ini, manakala 25 peratus lagi oleh Apple, walaupun ia masih kekal sebagai penjual individu terbesar.

Dalam pada itu, Apple turut mengumumkan sistem operasi OS X untuk desktop dikenali Yosemite kini boleh dimuat turun untuk naik taraf pecuma bagi komputer Mac.

OS baharu itu menampilkan ciri dikenali "handoff" bagi membolehkan pengguna bertukar antara peranti Apple dan menyambung guna aplikasi seperti menulis e-mel umpamanya.

Apple juga memperkenalkan komputer iMac dengan paparan Retina 27-inci dan varian naik taraf Mac mini dengan tanda harga lebih rendah.